Aksi ganas remaja macam filem Hongkong

Macam dalam filem Hongkong! Itulah yang boleh digambarkan dengan tindakan ganas sekumpulan remaja yang aksi mereka dirakam kamera litar litar tertutup (CCTV) baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, rakaman dimuat naik Woo Jackson ke laman sosial dengan caption “Kepong baru mamak gangster fighting” pada Isnin lalu itu memaparkan sikap ‘tidak tahu malu’ remaja berkenaan di tempat awam.

Sambil menutup muka dan memakai topi keledar, remaja berkenaan dilihat menyerang sekumpulan anak muda lain yang sedang menjamu selera.

Susulan itu berlaku pergelutan diantara mereka sehingga menyebabkan beberapa kerusi dan meja rosak.

Orang ramai yang rata-ratanya pelanggan kelihatan terkejut dengan insiden yang berlaku kira-kira seminit itu.

Penelitian terhadap insiden yang dipercayai berlaku di sebuah restoran terletak di Kepong Baru, Kuala Lumpur itu turut menunjukkan penyerang terbabit menggunakan senjata.

Difahamkan pihak polis sedang menyiasat insiden tersebut, motif pergaduhan tidak diketahui.