Harga petrol RON97 akan turun 11 sen mulai tengah malam ini daripada RM2.67 kepada RM2.56 seliter.
Menurut satu kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini, harga runcit RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter.
Ketika mengumumkan harga petrol bagi tempoh sehingga 2 Ogos itu, MOF berkata, berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit RON95 dan diesel sepatutnya RM2.26 dan RM2.31 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” menurut kenyataan itu
Bagi tempoh 27 Julai hingga 2 Ogos itu, kerajaan dianggarkan menanggung subsidi berjumlah RM90.48 juta.
Sementara itu, Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi tadi.
Pada 9.06 pagi, ringgit berada pada 4.1180/1210 berbanding paras penutup 4.1130/1160 pada Khamis.
Seorang peniaga berkata langkah Bank Pusat Eropah (ECB) untuk mengekalkan dasar faedahnya tidak berubah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mungkin akan mengambil pendekatan kurang agresif bagi kadar faedah mereka.
Bagaimanapun unit tempatan kukuh sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0109/0149 daripada 3.0116/0143 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.7888/7922 daripada 3.8048/8086.
Ringgit juga naik berbanding pound British kepada 5.1281/1335 daripada 5.1314/1372 tetapi turun berbanding euro kepada 4.5903/5941 daripada 4.5765/5815 sebelumnya.