Cabaran tangani isu sakit mental

Tahukah anda, penyakit mental atau disebut juga sebagai Mental distress akan menjadi masalah kesihatan kedua terbesar rakyat Malaysia menjelang tahun 2020.

Secara umumnya, masalah mental dianggap sebagai gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkahlaku sehingga mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Daripada data yang diperoleh,  sekurang-kurangnya seorang daripada sembilan penduduk di Malaysia mengalami sakit mental bermula daripada kemurungan. Tekanan yang dihadapi boleh mencapai sehingga ke tahap skizofrenia atau kronik.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya masalah mental. Selain persekitaran, faktor genetik dan keturuan juga boleh menyumbang kepada masalah mental.

Seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang ada sejarah masalah mental berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan.

Kajian menunjukkan kebarangkalian 1:100 peluang untuk seseorang dalam keluarga mendapat penyakit skizofrenia jika ada dalam ahli keluarganya mengidap penyakit tersebut berbanding 1:10 dalam masyarakat umum.

Tekanan mental bukan gila

Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Ng Chong Guan baru-baru berkata, isu gangguan mental wajar diberi perhatian, namun ramai pesakit enggan mendapatkan rawatan.

Antara faktor yang menghalang mereka adalah berpunca atas dasar malu dan merasakan mereka ini tidak sakit. Atau takut dilabel mempunyai penyakit gila dan ditempatkan di Hospital Tampoi dan Tanjung Rambutan!

Stigma dikalangan masyarakat bahawa golongan ini satu ancaman kepada keselamatan awam susulan laporan media pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang dilakukan oleh golongan ini memburukkan lagi keadaan.

Sedangkan masalah mental ini sebenarnya turut meliputi situasi dimana seseorang merasakan ketakutan yang tidak berasas (fobia), keresahan (anxiety), kemurungan (depression) dan obsesif kompulsif .

Gangguan fungsi mental yang tidak serius ini dapat pulih dengan sempurna selepas rawatan.

Sewajarnya rakyat menukar persepsi mereka mengenai isu sakit mental ini, Ia bertepatan dengan saranan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini mahu stigma atau pandangan negatif terhadap pesakit-pesakit yang dikatakan punya masalah mental ini diubah.

Menteri Kesihatan- Dr Dzulkefly Ahmad

“Jika cabaran (kesihatan) mental ini tidak ditangani, ia pasti mengundang kesan terhadap kebolehan menjalankan kegiatan seharian.

“Cabaran sangat besar untuk masalah kesihatan mental ini ditangani pada skala nasional menerusi pelan tindakan khusus,” katanya.

Dan apa yang paling penting adalah kita wajar tahu dan membezakan bahawa berjumpa pakar psikiatri sebenarnya bukan petanda seseorang itu gila.