Adik Ainul pulang ke M’sia

Bayi 10 bulan yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di London, United Kingdom (UK), Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin dalam perjalanan pulang ke tanah air.

Perkara itu dikongsikan oleh ibunya, Nurul Erwani Zaidi menerusi hantaran di laman Instagram miliknya sebentar tadi.

“Allah permudahkan perjalanan kami sampai ke Malaysia, berikan kami sekeluarga kekuatan untuk menghadapi segalanya.

“Bye London, we will miss this adorable moments,” tulisnya.

Kisah Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’ mendapat perhatian negara. Satu tabung khas diwujudkan bagi membantu membiayai pembedahan bayi tersebut.

Ainul menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut di sebuah Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu membabitkan perbelanjaan mencecah RM1juta.

Pembedahan tersebut dijalankan sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah, Dr. Nur Amalina Che Bakri.

Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil kesempatan melawat Ainul semasa lawatan 3 harinya ke negara itu.