Seorang guru, Arunandy Subramaniam mengimbas kembali kenangan
49 tahun lalu apabila ketika mendidik seorang pewaris takhta Sultan Pahang.
Dipetik satu wawancara bersama Bernama, Arunandy berkata masih segar dalam ingatannya bagaimana sifat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan seorang pelajar berbudi bahasa.
Al-Sultan Abdullah yang kini adalah Yang di-Pertuan Agong ke-16 juga merupakan seorang yang rendah diri dan menghormati orang lain.

Justeru sifat tersebut menurutnya membuatkan orang sekeliling selesa dan tidak merasai kewujudan ‘tembok’ protokol atau perbezaan darjat dengan baginda Tuanku.
“Tuanku hormat guru dan rakan-rakannya. Apa orang lain buat, Tuanku akan buat… Tuanku tak biarkan orang lain buat untuk dirinya,”katanya.
Arunandy yang kini berusia 69 tahun juga mengimbas satu peristiwa dimana menurutnya menyerlahkan lagi sikap perihatin baginda terhadap orang sekelilingnya.
“Tuanku adalah ketua kelas ketika itu (ketika Seri Paduka di Tingkatan Satu)
“Pada masa itu, Tuanku menulis nama pelajar-pelajar yang bising, apabila Tuanku melihat saya, Tuanku memadam nama yang tertulis pada papan hitam.
“Apabila saya tanya kenapa ia dipadam, Tuanku memberitahu saya, tiada siapa yang patut dihukum hanya kerana bercakap,” tambah bekas guru Matematik dan jurulatih hoki Seri Paduka baginda itu lagi.