Pemimpin Parti Konsevatif, Boris Johnson memenangi pemilihan parti pemerintah dan diangkat menjadi Perdana Menteri Britain yang baharu.
Bekas Datuk Bandar London itu meraih 92,153 undi menewaskan pesaingnya Setiausaha Luar Jeremy Hunt yang hanya mampu mendapat 46,656 undi.
Sewaktu menyampaikan ucapan kemenangannya di Pusat Ratu Elizabeth II di London, Johnson berkata, “Kami akan kembali memberdayakan negara ini,” di samping berjanji akan menyelesaikan isu berkaitan Brexit sebelum 31 Oktober ini.
“Kita semua sekali lagi akan mempertaruhkan kepercayaan kepada diri sendiri, dan seperti gergasi yang sedang tidur, kita akan bangkit dan melepaskan diri daripada kesangsian, daripada diri sendiri, serta persepsi negatif.
“Kita akan menyatukan negara yang hebat ini dan kita akan terus maju ke hadapan,” katanya dilapor media antarabangsa.

Johnson, 55, dijangka menghadap Ratu Elizabeth II dan menghadiri majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri Britain hari ini selepas penyandang terdahulu, Theresa May menghantar surat peletakan jawatannya.
Sementara itu, portal YouGov – sebuah firma penyelidikan pasaran antarabangsa dan analisis data berasaskan internet mendakwa separuh rakyat negara itu menganggap Theresa May sebagai gagal.
Menurut mereka, 49 peratus rakyat negara itu hilang keyakinan terhadap Theresa, manakala hanya 21 menganggap beliau telah menunjukkan prestasi yang baik dalam peranannya.