Safiey tak mengaku cedera Instafamous

USAHAWAN kosmetik terkenal Safiey Ilias mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang ‘Instafamous’ dikenali Baby Ara, tahun lalu.

Beliau membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Tawfiq Affendy Chin di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Berdasarkan pertuduhan, Safiey atau nama sebenar Mohd Saifuddin Ilias, 25 didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Farahnazikha Karab Hussain, 25, di sebuah restoran pada 15 Januari 2018.

Jika sabit kesalahan Safiey yang popular dengan lagu Syinta Gila boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Safiey diwakili peguam Harjeet Singh Sindhu. Mahkamah menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Rajdeep menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, Harjeet memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan kes.