Pelumba Colombia, Nairo Quintana (Movistar) membuktikan beliau masih berbisa.
Quintana, bekas juara Vuelta a Espana dan Giro d’Italia itu mengungguli perlumbaan peringkat ke-18 Tour de France dari Embrun ke Valloire sejauh 208 Kilometer.

Beliau pada awalnya berada dalam kelompok 33 pelumba hadapan. Namun pada jarak perlumbaan hanya berbaki 26 kilometer, Quintana memulakan langkah pertamanya dengan cubaan break-away.
Quintana sememangnya terkenal sebagai jaguhan bukit, perlumbaan peringkat ke-18 ini dianggap sukar kerana pelumba perlu mengharungi laluan mendaki termasuk tiga bukit yang berketinggian lebih 2000 meter dari aras laut.
“Ia adalah hari yang hebat buat saya, strategi pasukan adalah kami mahu meletakkan diri kami di kedudukan yang tepat untuk memenangi perlumbaan,” jelasnya kepada media selesai perlumbaan.
BACA LANJUT: LTD Stage 17 – Dua pelumba disingkirkan
Pelumba berusia 29 tahun itu kemudiannya sekali menyerang pada jarak laluan berbaki 7.5 kilometer. Kali ini beliau meninggalkan pelumba lain sehingga ke garis penamat dengan masa perlumbaan 5.34.15 saat.
Sementara itu, pelumba pasukan AD2R mondiale, Romain Bardet menduduki kedudukan kedua dengan 01:35 saat dibelakang Quintana. Alexey Lutsenko dari Astana Pro Team pula ditempat ketiga.
Julian Alaphilippe dari pasukan Deceuninck-QuickStep hanya mampu berada pada kedudukan ke-14. Namun pelumba kelahiran Perancis itu masih mengekalkan jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan perlumbaan.
Bagi persaingan jersi, Peter Sagan yang menunggang untuk pasukan Bora-Hansgrohe menguasai jersi hijau sebagai Raja Pecut. E.Bernal (Ineos) pelumba muda terbaik (jersi putih) dan R. Bardet mewakli AG2R Mondiale menguasai jersi Raja Bukit.
Selepas ini, pelumba bakal mengharungi peringkat perlumbaan ke-19 dari Saint-Jean-de-Maurienne ke Tignes dengan laluan berbukit sejauh 126.5 kilometer.
Perlumbaan akan tamat di Paris pada 28 Julai ini.


