Al-Sultan Abdullah: Raja yang menghormati guru

Tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang guru apabila dihormati bekas anak murid.

Itu gambaran perasaan dialami bekas Kadi Besar Pahang, Datuk Abdul Mutalib Mohd Ali Al-Fakwie, 87, apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih mengenalinya.

Memetik laporan Bernama sebelum ini, Abdul Mutalib mendedahkan bahawa beliau merasa sangat terkesan apabila Seri Paduka sanggup mengenepikan protokol semata-mata untuk menolak kerusi roda beliau.

”..saya tersentuh dengan sifat prihatin Tuanku apabila bertegas mahu menolak kerusi roda saya walaupun ada kenderaan khusus disediakan untuk baginda ke khemah jamuan,” katanya sambil mengenang pertemuan semula mereka dalam majlis doa selamat dan kesyukuran di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan baru-baru ini.

Al-Sultan Abdullah menolak kerusi roda Abdul Mutalib

Tambah Abdul Mutalib, ketika Sultan Abdullah bersalam dengan rakyat sepanjang laluan masuk ke ruang solat, baginda terkejut melihat kelibat bekas gurunya itu, lantas bersalam dan memeluknya.

“Ini tok guru saya…. ini guru saya. Itu yang diucapkan Tuanku berulang kali kepada tetamu lain.

“Saya terharu dengan perbuatan itu. Memang begitulah adab baginda dengan guru. Sejak saya mula mengajar baginda memang amat menghormati guru walaupun bergelar anak raja,” tambah Tokoh Maal Hijrah Pahang 2002.

One thought on “Al-Sultan Abdullah: Raja yang menghormati guru

Comments are closed.