Jangan sekali-kali mencetuskan api perselisihan, demikian titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tegas Seri Paduka, perpaduan dan keharmonian rakyat adalah tiang seri dan kekuatan negara. Justeru perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara tidak wajar dibangkitkan.
“Bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malahan turut membakar seluruh kampung halaman,” titah Al- sultan Abdullah pada Istiadat Pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Istana Negara, di Kuala Lumpur hari ini.
Baginda sementara itu turut menegaskan bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong amat penting dalam sistem kenegaraan Malaysia.

Institusi itu bukanlah sekadar simbol atau pun lambang semata-mata,
“Ia adalah asas perpaduan, penyatuan bangsa dan pencetus semangat patriotisme kebangsaan. Ia adalah merupakan satu roh yang jika diwarisi dan dihayati oleh setiap anak watan, boleh menerbitkan rasa cinta dan kesetiaan kepada negara,” titah Seri Paduka lagi.
Menyedari hakikat itu, Seri Paduka berikrar akan berusaha dengan sedaya mungkin untuk mewujudkan perpaduan dan sikap toleransi di antara semua kaum, bangsa dan agama di negara ini.
“Beta akan mengutamakan rakyat; menghormati yang tua dan memuliakan yang muda. Semua ini akan beta zahirkan dengan penuh rasa tawaduk. Sesungguhnya; ‘ular yang menyusur akar; tidak sekali-kali akan hilang bisa-nya’.” titah baginda.