Pengerusi Badan Kesenian Babah-Nyonyah (KEBAYA), Koh Kim Bok, 77, meninggal dunia.
Memetik laporan Berita Harian, Kim Bok yang lebih terkenal dengan gelaran ‘Raja Gasing Malaysia” terjatuh akibat serangan jantung di rumahnya di Bukit Rambai.
Isteri mendiang, Lim Geok Suan, 71, berkata suaminya disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

“Baba (Kim Bok) sebelum itu mengadu hendak buang air besar dan bawanya ke bilik air. Saya temani Baba, lihat dia dua tiga kali dan kata nak ke dapur sebentar ambilkan ubat, tetapi dalam perjalanan ke dapur saya terdengar Baba terjatuh.
“Saya menjerit dan memanggil pembantu rumah memandangkan hanya kami bertiga sahaja di rumah,” katanya dipetik.
Mengulas lanjut, Geok Suan berkata, dia segera mendapatkan bantuan ambulans. Namun Kim Bok gagal diselamatkan.
Sebagai rekod, mendiang juga adalah Pengasas Persatuan Peranakan Cina Malaysia.
Mula meminati permainan gasing sejak berumur 12 tahun, pernah dilantik sebagai Pengerusi Pengadil Gasing Malaysia dan Pengerusi Teknikal Gasing Malaysia
Mendiang yang juga pakar pembuat gasing juga adalah penceramah hebat dalam bidang permainan gasing. Mendiang pernah dijemput untuk mengadakan ceramah di beberapa buah negara seperti Kemboja, Brunei, Singapura, Thailand dan juga Sepanyol.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dalam hantaran facebooknya berkata Melaka telah kehilangan seorang tokoh budaya yang banyak berjasa kepada negeri itu.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang Kim Bock.