Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan pendiriannya berhubung siapa bakal perdana menteri Malaysia ke lapan bagi menggantikannya.
Bercakap dalam satu temubual dengan saluran berita antarabangsa Turki TRT, Tun Mahathir berikrar tidak akan memungkiri janji untuk menyerahkan kerusi tersebut kepada Anwar Ibrahim
“Apa pun yang berlaku, saya akan berpegang pada ikrar saya.
“Saya sudah pun bersetuju bahawa apabila saya undur, dia (Anwar) akan mengambil alih daripada saya sebagai perdana menteri.”
Saya tidak akan memungkiri janji sendiri,” katanya dipetik.
Dr Mahathir sebelumnya ditanya mengenai video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan kaitannya dengan rancangan peralihan kuasa.
Beliau juga diminta mengulas hubungan rumitnya dengan Anwar, yang menyaksikan kedua-dua mereka terheret dalam dua dekad permusuhan politik sebelum ini.
“Melawan Najib lebih penting daripada hubungan peribadi kami,” katanya lagi.
Umno dan PAS sebelum ini mencadangkan supaya Mahathir terus kekal sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum ke-15.
Kenyataan tersebut berbeza dengan pendirian presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mendakwa kemenangan Tun Mahathir hanya akan membahayakan negara.
“Dr Mahathir tidak meletakkan Islam dalam perjuangan parti berkenaan, sebaliknya bersekongkol dengan DAP dan parti Melayu tajaan DAP iaitu Parti Amanah Negara (PAN)
“Buat apa pilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, sedangkan sepanjang 22 tahun menjadi pemimpin negara, beliau banyak menimbulkan masalah kepada rakyat,” katanya ketika berceramah di PDM Kampung Cerang Meliling Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, sokongan mengejut Umno dan PAS kali ini dianggap berbeza. Sesetengah pihak berpandangan ia cuma bertujuan mengeruhkan lagi suasana politik dalam HARAPAN susulan pergeseran dalaman dalam KEADILAN.
Dalam KEADILAN sendiri, keadaan dilihat semakin rumit apabila Azmin dilapor telah menyokong cadangan disuarakan Umno dan PAS itu dalam satu kenyataan pada 29 Julai lalu.