Maut rempuh belakang lori

Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah lori rosak yang berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Saiful Akmal Jamaludin, 21, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman dalam satu kenyataan berkata, Saiful sebelumnya menunggang motosikal jenis Yamaha.

Mangsa meninggal ketika mendapatkan rawatan | Pic -BH

Mangsa dalam perjalanan menghala Kuala Lumpur dari arah Tanjung Malim.

“Mangsa dipercayai melanggar belakang lori rosak yang berada di lorong kecemasan,” tambahnya.

Kemalangan menyebabkan lori terbabit rosak di bahagian belakang, manakala motosikal milik mangsa remuk di bahagian hadapan.

Pemandu lori berusia 29 tahun dilaporkan tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.