Bas terbabas, wanita putus kaki

SEORANG penumpang cedera parah selepas bas persiaran dinaikinya terbabas di Jalan Salak Tinggi – Nilai pagi tadi.

Mangsa tersebut, seorang wanita berusia lingkungan 30-an putus pergelangan buku lali kirinya dan hantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Terjatuh dalam gaung setinggi 3 meter | Pic- Ahmad Irham Mohd Noor BH

Menurut jurucakap bomba, mereka menerima panggilan pada jam 6.15 pagi dan jentera tiba di lokasi jam 6.26 pagi.

Apabila sampai di lokasi, pihak bomba didapati terdapat sebuah bas persiaran dua tingkat terbabas ke dalam gaung sedalam tiga meter.

“Didapati terdapat tiga orang mangsa iaitu seorang pemandu lelaki berusia 40-an yang mengalami cedera ringan.

“Selain itu dua penumpang iaitu wanita cedera parah di bahagian kaki kiri kerana putus bahagian buku lali ke bawah manakala seorang lagi penumpang lelaki berusia 23 tahun cedera ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Salak Tinggi untuk rawatan lanjut,” kata bomba dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, bas tersebut dalam perjalanan menghala ke Nilai, Negeri Sembilan.

“Siasatan awal pegawai penyiasat di tempat kejadian mendapat ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik dan keadaan jalan adalah dua lorong sehala, menuruni bukit dan terdapat selekoh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.