Dakwaan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi bahawa kononnya Parti Amanah Negara (Amanah) dibiayai oleh DAP adalah fitnah.
Bendahari Agung Amanah, Asmuni Awi berkata, tuduhan itu berniat jahat dan usaha dilakukan pihak tertentu untuk memburukkan imej parti berkenaan pada masyarakat.
Tegas Pengerusi Amanah Perak itu lagi, Zahid sewajarnya membuktikan tuduhan dilemparkan itu kepada umum.
“Zahid yang telah berkawan dengan PAS sepatutnya mesti tahu (hukum). Dia tidak boleh sesuka hati tuduh tanpa bukti, paling tidak, ada bukti-bukti prima facie.
“Saya berpegang kepada prinsip apabila melemparkan tuduhan mestilah disertakan dengan bukti dan bukan cakap sahaja,’ tegasnya.
Tambahnya, penubuhan parti itu yang dianggotai ahli pelbagai latar belakang termasuk PAS masih mengekalkan semangat jihad Islam yang tinggi dalam perjuangan politik.
Terdahulu Zahid yang kini berdepan lebih 40 kes mahkamah termasuk dakwaan menerima suapan RM42.76j menuduh DAP sebagai punca perpecahan Melayu sehingga tertubuhnya Amanah dan Bersatu.
Bagaimanapun kenyataan itu dikritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang berkata, pemimpin pembangkang itu menjadikan DAP sebagai sasaran bagi menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap parti itu sekaligus Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Dakwaan politik yang DAP jahat bukan hari ini sahaja, malah sebelum ini, puluh tahun dah semuanya masalah DAP.
“Kita hendak beritahu Zahid tolonglah jangan jadi batu api. Kembalilah kepada alam realiti dan sumbanglah idea yang boleh membangunkan negara,” katanya dalamsatu majlis di Sabak Bernam.