Malang tidak berbau, seorang pemandu van maut secara tragis apabila ‘dirempuh’ tayar di Pulau Pinang pagi semalam.
Dalam kejadian di Kilometer 156.1, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi itu, mangsa Hawazi Ismail, 47, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di dada selain kaki dan tangan kiri patah akibat rempuhan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abdul Samad dipetik berkata, sebelum kejadian, Hawazi dalam perjalanan ke Batu Kawan. Mangsa berhenti di lorong kecemasan untuk menukar tayar belakang van dipandunya yang pecah.
Namun ketika mangsa mahu meletakkan alat penanda segi tiga kecemasan di bahagian belakang van, secara tiba-tiba sebiji tayar daripada sebuah treler yang tercabut menghentam mangsa.
Tambah Shafee, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Pihaknya telah mengambil keterangan pemandu treler berusia 38 tahun terbabit.