Ramai jual iPhone, beli Android

KAJIAN laman web e-dagang BankMyCell melaporkan 18.1 peratus pemilik telefon bimbit iPhone keluaran Apple menjual telefon bimbit mereka dan menggantikannya dengan jenama Samsung pada Jun 2019.

BankMyCell, yang menawarkan khidmat menjual telefon bimbit lama dan menukarkannya dengan peranti baharu kepada pengguna mengumpul data daripada lebih dari 38,000 individu yang menjual telefon bimbit mereka sejak Oktober 2018 sehingga Jun 2019 untuk melihat kesetiaan mereka terhadap telefon keluaran Apple itu, lapor laman Cnet, baru-baru ini.

Berbanding pengguna iPhone, pengguna samsung menunjukkan kesetian lebih tinggi kepada jenama diguna mereka.

Hanya terdapat 7.7 peratus pengguna Samsung Galaxy S9 yang beralih kepada iPhone manakala 92.3 peratus kekal menggunakan sistem operasi Android.

Sebagai perbandingan, 26 peratus orang menjual iPhone X mereka dan beralih ke peranti jenama lain.

Angka-angka ini lebih cenderung kepada trend yang mencerminkan gambaran keseluruhan kesetiaan terhadap jenama Apple atau Samsung.

Bagaimanapun , BankMyCell pada dasarnya menggunakan datanya daripada mereka yang menggunakan perkhidmatannya sahaja dan mengakui bahawa ia tidak mewakili keseluruhan penjualan, yang mencakupi laman lelongan, stor operator dan Apple sendiri.

Di Amerika, penjualan telefon bimbit Android naik 2.5 peratus hingga 61 peratus dari semua penjualan. Manakala penjualan iPhone turun 2.4 peratus dari tempoh yang sama tahun lalu.