PRESIDEN Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa parti itu bakal mewujudkan tabung bagi mengumpul dana bagi memastikan kelangsungan parti itu.
Bercakap pada satu sidang media di PWTC Ahmad Zahid berkata tabung tersebut bakal diumumkan sedikit masa lagi.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau yakin ramai rakyat yang masih menyokong perjuangan Umno dan mahu menyumbang kepada parti itu.
“Sebagaimana kita tahui, kekangan terbesar dihadapi adalah dari segi pembiyaan akibat pembekuan , penyitaan dan tindakan perundangan tidak adil terhadap Umno.
“Oleh demikian kami merasakan tabung dana ini harus dilancarkan.
“Kami akan melancarkan dalam masa terdekat supaya kelangsungan parti politik dapat dilaksanakan. ,” jelasnya.
Akaun Umno sebelum ini dibekukan bawah Akta Pencegahan PengĀubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA), selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memfailkan permohonan melucut hak ke atas dana berjumlah RM270 juta yang dikatakan daripada 1MDB.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jun tahun lalu membekukan 900 akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk berkaitan UMNO.