PENYANYI Faizal Tahir mengesahkan bakal melancarkan album terakhirnya tidak lama lagi.
Dipetik laporan Hmetro Faizal,berkata, album tersebut yang bakal diberi judul Rojak bukan sekadar gimik semata-mata.
“Ya, memang sah Rojak akan menjadi album saya yang terakhir dan bukan gimik.
“Sekarang saya masih sibuk untuk menyiapkan sepenuhnya album ini. Kini ia sudah siap 90 peratus dan guna masa sebelum pelancaran untuk siapkan sepenuhnya,” katanya.

Tambah penyanyi berusia 40 tahun itu lagi, dia bagaimanapun akan menjelaskan secara terperinci mengenai keputusannya menjadikan album itu sebagai yang terakhir pada pelancarannya nanti.
Faizal sebelumnya memaklumkan perkara itu di media sosialnya menerusi sebuah video.
“Semua kita di Malaysia adalah Rojak disebabkan orang, budaya, bahasa dan ia sangat indah. Disebabkan itu saya nama album ini Rojak.
“Satu hal mengenai album ini, ia adalah album saya yang terakhir,” katanya lagi.
Sejak memulakan karier muzik pada 2004, Faizal yang terkenal dengan lagu Assalamualaikum itu sudah menghasilkan empat album penuh.
Faizal bermula dengan album berjudul Aku.Muzik.Kamu pada 2007, Adrenalin (2010), Faizal Tahir (2013), dan Anatomi yang dilancarkan pada tahun 2016.