Azmin mahu sertai Gerakan? soal Utusan

PERGESERAN dalaman parti KEADILAN membuatkan lanskap politik Malaysia berada dalam keadaan tidak menentu.

Terbaru, Utusan dalam laporannya mendakwa ada desas-desus bahawa Timbalan Presiden itu bakal meninggalkan KEADILAN bagi menyertai Parti Gerakan.

Laporan yang memetik sumber tidak dinamakan itu mendakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mengambil langkah berkenaan berikutan pergeseran beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semakin meruncing berikutan tersebar video aksi intim yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

“Sumber berkata, setakat ini pemimpin KEADILAN yang mewakili Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu masih berbincang dengan pemimpin Gerakan,” kata akhbar yang pernah didominasi Umno itu.

Sementara itu, setiausaha politik kepada Azmin menafikan laporan tersebut.

Katanya, mustahil Azmin berbuat demikian kerana bekas Menteri Besar Selangor itu mempunyai sokongan kuat dalam kalangan pimpinan parti dari peringkat Majlis Pimpinan Pusat sehingga ke sayap Pemuda dan Wanita.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung GERAKAN Mak Kah Keong berkata, pihaknya mengalu-alukan hasrat Azmin sekiranya mahu menyertai parti itu.

“Tapi saya tak boleh komen lanjut, mungkin ada perbincangan antara Presiden GERAKAN (Datuk Dominic Lau) dengan Datuk Seri Mohamed Azmin. Itu awak kena tanya Presiden saya,” katanya dipetik.

Naib Presiden parti itu pula G Parameswaran berkata, ahli-ahli parti itu pasti gembira dengan berita gembira berkenaan apabila ia menjadi kenyataan kelak.

Sebagai rekod, Gerakan sebelum ini keluar dari Barisan Nasional (BN), langkah itu dilihat membolehkan parti berkenaan menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN).

Leave a comment