PAS dicabar menggunakan logo UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri Melaka, Muhammad Syafiq Azmi membuat cabaran tersebut melalui laman facebooknya.
“AMANAH guna logo DAP, PAS guna logo UMNO-lah kalau berani,” tulis Muhammad Syafiq.
Difahamkan, ia susulan kenyataan Abdul Hadi Awang sebelum ini yang menyarankan AMANAH masuk bertanding menggunakan logo DAP untuk menghadapi PRU akan datang.
Abdul Hadi yang pernah dikecam penyokong UMNO susulan satu amanat yang dibuatnya sebelum ini turut mendakwa AMANAH tidak mempunyai kekuatan di kawasan majoriti Melayu.
“Amanah pula lebih kepada DAP, sebab itu saya cadang Amanah guna simbol DAP dalam PRU akan datang.
“Pakai simbol DAP untuk sambung talian hayat dia (Amanah), itu lebih penting,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Tinjuan di portal berkenaan mendapati pembaca portal mengkritik kenyataan Abdul Hadi.
Seorang pembaca dengan nama samaran Putera Ligawan meninggalkan komen dengan berkata kenyataan dibuat Abdul Hadi sebagai kurang waras.
“Jeleslah tu dan bercampur gusar dgn pencapaian Parti Amanah.
“Apa tidaknya, baru juga usia parti setahun jagung dah menunjukkan pencapaian yg amat membanggakan dgn kemenangan 12 kerusi parlimen,” tulisnya.
Sementara itu, Zulkifly Abdullah menyuarakan rasa bimbangnya terhadap sikap Abdul Hadi yang dilihat sering menyerang Amanah.
“Tak habis2 lagi dendam dan sakit hati ulamak besar tersohor dunia ni kepada saudara seagama yg memilih utk berjuang dlm parti lain. Aku nak tunggu amanat yg akan dikeluarkan utk Amanah ni. Dulu Umno dah kene,” luahnya.
Selepas memutuskan hubungan dengan DAP serta Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini, Abdul Hadi dan PAS dilihat cenderung memihak UMNO.
Kedua-dua parti itu dilaporkan akan memeterai piagam kerjasama pada 14 September nanti.