TDF Stage 19 – Hari penuh drama

PERINGKAT ke-19 perlumbaan Tour de France kali ini menyajikan beberapa kejutan.

Dengan perlumbaan berbaki dua peringkat, peminat perlumbaan sukan berbasikal melihat bagaimana Julian Alaphilippe dari pasukan Deceuninck-QuickStep terlepas jersi pendahulu keseluruhan.

Egan Bernal, 22, yang mewakili pasukan Ineos mengungguli perlumbaan sekaligus merampas jersi kuning (Maillot jaune) dari Alaphilippe.

Bernal, yang memulakan perlumbaan 90 saat di belakang Alaphilippe dilihat sangat bertenaga.

Egan Bernal merampas jersi kuning dari Alaphilippe

Pendahulu bagi kategori pelumba muda (Jersi Putih) pada satu ketika dilihat meninggalkan Alaphilippe dengan catatan masa lebih 2 minit.

“Ia luar biasa. Apabila saya mempunyai jersi kuning, saya mahu menangis.” kata Bernal pada sidang media.

Perlumbaan peringkat ini juga menyaksikan para pelumba terpaksa melalui laluan sukar, mereka perlu mendaki Col de I’Iseran setinggi 2,770 meter dari aras laut

Thibaut Pinot yang mewakili Groupama–FDJ membuat keputusan untuk tidak meneruskan perlumbaan. Ketika memasuki kilometer ke 86, beliau berhenti dan masuk ke dalam kereta pasukan.Pinot dipercayai mengalami kecederaan pada otot peha.

Lebih drama berlaku pada peringkat ini. Perlumbaan dari Saint-Jean-de-Maurienne ke Tignes sejauh 126.5 ini ditamatkan awal disebabkan keadaan cuaca.

Imej helikopter dan laporan Twitter dari kereta pasukan menunjukkan badai hujan lebat dan ais meliputi jalan di Tignes sebelum pendakian terakhir.

Berlaku juga kejadian tanah runtuh yang menghalang laluan perlumbaan.

Pada peringkat kali ini, Simon Yates yang mewakili pasukan Mitchelton- Scott berada di kedudukan kedua dengan 13 saat dibelakang Bernal. Manakala Warren Barguil (Arkéa Samsic) berada di tempat ketiga.

Keputusan keseluruhan menyaksikan Julian Alaphilippe kini berada di posisi ke 2 dengan ketinggalan 48 saat dibelakang Bernal.

Peter Sagan yang menunggang untuk pasukan Bora-Hansgrohe masih menguasai jersi dan R. Bardet mewakili AG2R Mondiale terus menguasai jersi Raja Bukit.