Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 sarat dengan nilai estetika dan sentuhan peribadi Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Bagi menjayakan istiadat yang menjulang sistem raja berperlembagaan, Tunku Azizah memainkan peranan penting dan terlibat secara langsung bagi pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
Ia pasti bakal menjadi detik bersejarah dengan nilai sentimental kepada Seri Paduka Baginda berdua kerana ia berlangsung pada Hari Keputeraan ke-60 Al- Sultan Abdullah.
Mencatat sejarah tersendiri, Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ini akan menyaksikan Malaysia memperoleh pasangan payung mahkota negara yang kedua-dua Seri Paduka adalah anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong terdahulu.
Sultan Abdullah, putera sulung Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah manakala Tunku Azizah, puteri ketiga Almarhum Sultan Iskandar, masing-masing adalah Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kelapan.
Mahu mengimbau saat-saat bersejarah 40 tahun lepas, Tunku Azizah menyatakan hasrat untuk menggunakan singgahsana dan persalinan yang digunakan kedua-dua ayahanda mentua dan ayahanda baginda untuk bersemayam pada hari bersejarah itu.
“Saya mahu duduk di singgahsana yang diduduki bonda saya dan bonda Tuanku, dan saya mahu Tuanku duduk di singgahsana yang ayahanda Tuanku dan ayahanda saya duduk.
“Singgahsana itu ada sekarang sudah diperbetul, dicantikkan, diubahsuai. Jadi bagi Tuanku (Sultan Abdullah) dan saya ia adalah hari yang amat istimewa kerana kami sebenarnya akan menggunakan singgahsana yang ayahanda dan bonda kami gunakan apabila mereka adalah Yang di-Pertuan Agong),” titah baginda.
Tunku Azizah, yang mewarisi bakat menjahit dan melukis daripada bondanya Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah turut mencipta sendiri corak kain samping yang digunakan Sultan Abdullah.
Busana yang ditenun di Istana Brunei itu kemudiannya dijahit sendiri oleh Tunku Azizah.
One thought on “Istiadat Pertabalan dengan sentuhan Tunku Azizah”