Najib sendiri minta tukar kerusi – Mujahid

Sebab sebenar ketidakhadiran bekas Perdana Menteri, Seri Najib Razak ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Selasa lalu terus menjadi persoalan.

Walaupun Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam menuduh berlaku sabotaj dengan pertukaran kerusi untuk Najib pada saat akhir, namun tuduhan itu dinafikan Pejabat Perdana Menteri.

Mujahid menafikan dakwaan Lokman | Pic- The Sun

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menjelaskan bahawa kerusi Najib sudah ditetapkan dan tidak diubah seperti dakwaan Lokman.

“Isunya bukan dialih. Isunya (kerusi Najib) sudah ditetapkan. Kemudian Najib sendiri beri alasan dia kena duduk di tempat Orang Besar Pahang.

“Itu masalah dialah. Kita dah maklumkan lebih awal mengenai perkara itu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Khas istiadat itu dipetik laporan Bernama.

Najib sebelum ini menuduh berlaku campur tangan berkenaan tempat duduknya yang menyebabkan beliau tidak dapat hadir.

Melalui laman sosialnya, Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa menerima panggilan pada jam 6:30 pagi yang sama bahawa tempat duduk ditukar sehingga tidak sempat mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang.