Peraga busana bonda, Tengku Puteri Jihan curi tumpuan

Busana warna putih gading diperagakan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara Selasa lalu mencuri tumpuan.

Ia turut menjadi tumpuan lensa kamera yang merakam detik hari bersejarah itu.

Manakan tidak, busana itu adalah persalinan pernah digayakan bondanya Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa pertabalan nendanya Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada November 1984.

Puteri Jihan (busana putih) ketika istiadat tempoh hari

Ketika ditemui Bernama selepas selesai istiadat pertabalan hari ini, Tengku Puteri Jihan, 17, berkata beliau berasa bangga dan selesa mengenakan baju kurung berusia 35 tahun yang mempunyai nostalgia tersendiri itu.

“Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang,” katanya.

Pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim diberi tanggungjawab mengubah suai saiz baju kurung diperbuat daripada satin Dutch bersulaman renda Perancis itu supaya lebih selesa digayakan Puteri Jihan.

Selain busana tersebut, istiadat kali ini benar-benar mencuri tumpuan kerana mengguna kembali singhasana lama yang digunakan semasa pertabalan Almarhum Sultan Iskandar dan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh.