Ketua pengarah wanita pertama M’sia tutup usia

Wanita tempatan pertama menerima anugerah ‘Ramon Magsaysay’, Datuk Zakiah Hanum Abdul Hamid,82, meninggal dunia di Hospital Pantai kira-kira jam 12.30 pagi tadi.

Anak Allahyarham, Farha Mohd Nor,yang dipetik laporan sebuah portal berkata, jenazahakan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Jumaat hari ini.

Pada 31 Ogos 1989, Zakiah dianugerahkan anugerah ‘Ramon Magsaysay’ oleh kerajaan Filipina. Ia diiktiraf sebagai penghargaan paling berprestij di rantau Asia yang setaraf dengan Hadiah Nobel Barat

Penerima anugerah ini dipilih berdasarkan integriti dalam tadbir urus, perkhidmatan berani kepada rakyat, dan idealisme pragmatik dalam masyarakat demokratik.

Allahyarham juga merupakan wanita pertama yang menjadi Ketua Pengarah dalam jabatan kerajaan dan banyak memberi sumbangan kepada negara khususnya dalam memartabatkan budaya Melayu.

Zakiah Ketua Pengarah Jabatan Arkib Negara pertama Malaysia.

Beliau merupakan individu yang memberi ilham untuk membina Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Melaka dan Pustaka Peringatan P. Ramlee sebagai usaha untuk mengingati, mendokumentasikan serta mempamerkan kepada umum sumbangan tokoh negara.