Super KIP kembali beraksi di Brno

Selepas terlepas enam pusingan perlumbaan, jaguh Moto2 Malaysia Khairul Idham Pawi bakal kembali beraksi pada Grand Prix (GP) di Automotodrom Brno, Republik Czech, hujung minggu ini.

Khairul Idham yang dikenali sebagai Super KIP terpaksa berehat dari menyertai beberapa pusingan perlumbaan bagi membolehkan beliau pulih dari kecederaan tangan yang dialaminya pada Grand Prix Sepanyol May lalu.

Sememangnya penunggang pasukan Petronas Sprinta Racing Team berusia 20 tahun itu mengakui menggemari litar Brno. Beliau berharap dapat mengutip mata pada perlumbaan minggu ini bagi mengejar semula kedudukan.

“Sasaran saya adalah untuk kekal di kedudukan 15 terbaik.

“Kerana saya ketinggalan banyak pusingan, agak sukar mengejar kedudukan lebih baik” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul Idham sementara itu optimis menghadapi perlumbaan hujung minggu ini walaupun kecederaan dialaminya belum sepenuhnya pulih.

“Pemulihan berjalan dengan baik, namun jari saya masih belum 100 peratus pulih dari segi kekuatan atau kelenturan.

“Ia bukan satu masalah untuk menunggang dan saya semakin kuat setiap hari. Saya suka litar Brno kerana ia mempunyai banyak selekoh laju dan saya mempunyai kenangan yang baik pada kedua-dua Moto2 dan Moto3.

“Saya akan mencuba sebaiknya,” tambah pelumba berusia 20 tahun itu lagi.

One thought on “Super KIP kembali beraksi di Brno

Comments are closed.