Siasatan awal berhubung kejadian lif jatuh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi, Jumaat lalu bukan berpunca dari kabel putus.
Sebaliknya Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Ir Omar Mat Piah berkata, ia berlaku dari masalah teknikal pada lif berkenaan.
“Bukan tali sawat putus dan sebagainya, lif ini turun bukan freefall (jatuh bebas) tetapi ia turun dalam keadaan laju biasa.
“Siasatan kita teruskan sehingga hari ini dan kita akan cuba dapatkan maklumat, contoh di lif ini, dalam control room (bilik kawalan) ada data, kita akan dapatkan data tersebut dianalisa,” jelas Omar.
Terdahulu,lapan penduduk cedera apabila lif dinaiki mereka terjatuh dari tingkat lima bangunan itu. Enam dari mereka mengalami patah kaki.
BACA: 8 cedera, Lif terhempas ‘lagi’ di PPR Kerinchi
Difahamkan, kejadian pada Jumaat lalu itu adalah kali kedua terjadi di kawasan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sementara itu berkata, lif berkenaan sebenarnya diselenggarakan dengan baik setiap tahun.
Turut menolak andaian bahawa kabel putus sebagai punca kejadian, Khalid berkata, lif tersebut masih mempunyai sijil sah beroperasi dai JKKP sehingga Januari tahun hadapan.
“Secara teorinya, ia tidak sepatutnya terjadi Lif berkenaan mempunyai ciri-ciri keselamatan, antaranya ‘safety gear’ iaitu brek yang akan mencengkam secara automatik,” katanya.
Khalid sebelumnya hadir melihat sendiri kawasan kejadian dan mengambil kesempatan menemui mangsa terlibat serta menyampaikan sumbangan awal dari kementeriannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengesyorkan agar satu audit keselamatan dan penyelenggaraan menyeluruh dijalankan.
penting bagi bagi memastikan kemalangan serupa tidak berulang.
“Bagi saya perlu dilakukan satu audit keselamatan dan audit penyelenggaraan agar kita dapat satu perincian mengenai tahap dan mutu lif-lif yang ada,” kata Fahmi.
Tambahnya, terdapat enam kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dua Perumahan Awam (PA) di Lembah Pantai.
Menurut Fahmi lagi, kesemua mangsa juga wajar dipertimbangkan untuk mendapatkan rawatan kaunseling susulan truma dihadapi mereka kerana insiden itu.