Czech GP: Pelumba PETRONAS bermula di petak kedua

Pelumba Moto3 PETRONAS Sprinta Racing, John McPhee bakal memulakan Grand Prix (GP) Republik Czech petang ini di barisan depan.

McPhee,25, melakukan catatan masa 2 minit 18.420 saat pada sesi kelayakan kedua dalam keadaan litar basah, 0.400s di belakang pelumba pasukan VNE Snipers, Tony Arbolino yang menyambar petak utama dengan masa 2’18.020.

McPhee bakal bermula di petak ke-2

“Saya berasa agak baik untuk perlumbaan… terlepas petak utama tetapi sangat gembira berada di barisan depan,” kata pelumba dari Scotland itu yang memenangi GP Perancis, Mei lalu.

Selepas sembilan pusingan, McPhee, kini berada di tangga keenam keseluruhan dalam kategori itu dengan 68 mata.

Rakan sepasukan McPhee, Ayumu Sasaki bagaimanapun hanya akan memulakan perlumbaan dari petak ke-24 selepas mencatat masa terbaiknya, 2’21.679s pada sesi kelayakan pertama.

Sementara itu dalam kelas Moto2, Jonas Folger yang menggantikan pelumba negara Khairul Idham Pawi pada perlumbaan esok menghadapi saat sukar pada sesi kelayakan semalam.

Folger berdepan kesukaran pada sesi kelayakan

Pelumba dari Jerman itu yang hanya sempat menunggang dalam sesi bebas pada sebelah pagi tidak dapat mencari setting sesuai untuk jenteranya, keadaan itu disukarkan dengan keadaan litar basah ketika sesi ujian masa pada sebelah petang.

Folger hanya akan bermula di petak ke-29 pada perlumbaan yang dijadualkan bermula pada jam 6.30 petang waktu Malaysia itu.

BACA: Peminat kecewa, Super KIP tarik diri

Sementara itu dalam kelas MotoGP, pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT Fabian Quartararo dan Franco Morbidelli hanya akan bermula masing-masing di petak ke-10 dan 12.