Pakatan Harapan (HARAPAN) Sarawak perlu menangani pengaruh negatif perkauman dan pemikiran sempit dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-12.
Presiden KEADILAN , Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan perubahan yang ingin dilakukan Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kita tidak akan dapat bergerak sebagai sebuah negara jika kita tidak boleh berfikir melangkaui rumah panjang kita, atau bangsa atau anutan agama.
“Kita hanya boleh berjaya jika kita mempunyai amalan keadilan dan timbang rasa yang mencerminkan sifat kemanusiaan kita,”kata Anwar pada majlis makan ‘Harapan Sarawak Baru’ di Kuching baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu.
Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak dijangka bakal diadakan seawal hujung tahun hadapan. Ia dijangka bakal menyaksikan senario berbeza berbanding PRN lalu susulan kemenangan HARAPAN di peringkat persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam majlis serupa berkata, rakyat negeri itu mampu membetulkan senario politik negeri yang diperintah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Rakyat Sarawak mempunyai cita-cita dan harapan yang begitu tinggi, malangnya pada hari ini GPS di Sarawak bersendirian dan tidak mahu menubuh kerjasama demi kemajuan (dengan PH),” katanya.