90 peratus Ketua Cabang teguh sokong Anwar

Selepas hampir kesemua ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sepakat memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini tiba giliran Ketua Cabang parti itu.

Dalam satu sidang media yang diadakan siang tadi, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mendedahkan 90 peratus ketua cabang parti itu terus menyokong presiden mereka, Anwar Ibrahim.

190 cabang berdiri dibelakang kepimpinan Anwar

Tegasnya, 198 daripada 219 cabang berdaftar sepakat mahu Anwar sebagai satu-satunya pemimpin parti itu yang akan menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Atas semangat ini, kami yang mewakili 198 ketua cabang PKR seluruh negara melebihi 90 peratus terpanggil untuk menyatakan sokongan padu kepada Anwar untuk memacu dan memimpin parti dalam meneruskan idealisme perjuangan reformasi serta menjadi tonggak utama PH.

“Kami juga komited mendukung Anwar untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri kelapan seperti yang telah dipersetujui bersama oleh pimpinan PH menjelang PRU14, Mei tahun lalu,” ujarnya.

Sementara itu tambah Noor Amin, ketetapan dibuat semua ketua cabang itu telah menepis persepsi bahawa KEADILAN hampir berpecah.

Ketika mengulas apa yang berlaku dalam parti itu baru-baru ini, Amin bagaimanapun mengakui semua parti ada kecenderungan kepada pimpinan tertentu.

“Bagi saya semua parti ada kecenderungan kepada pimpinan tertentu, cuma apabila ketua-ketua cabang tampil menyatakan sokongan ini bukti tidak ada pertikaian dalam KEADILAN.

“Jadi, sidang media hari ini untuk tunjukkan bukti bahawa tidak ada perpecahan, yang ada mungkin perbezaan pendapat, ini kenyataan selari,” tambahnya lagi.

Leave a comment