Boeing mungkin henti pengeluaran 737 MAX

Syarikat pengeluar pesawat terkenal, Boeing sedang mempertimbangkang untuk menamatkan pengeluaran pesawat 737 MAX 8 mereka.

Agensi berita BBC dalam laporannya mendakwa keputusan tersebut mungkin dibuat sekiranya syarikat dan pihak berkuasa penerbangan meneruskan larangan terbang terhadap pesawat generasi ke empat 737 itu.

Menurut laporan itu lagi, larangan dikenakan telah menyebabkan Boeing berdepan masalah kerugian. Bagi suku kedua 2019, syarikat itu mengalami kerugian sebanyak AS$2.9 bilion (RM12 bilion) berbanding keuntungan AS$2.2 bilion (RM9.1 bilion) dalam tempoh sama tahun lalu.

Terdahulu dunia penerbangan seluruh dunia dikejutkan dengan dua insiden membabitkan pesawat itu dalam tempoh kurang enam bulan.

Kejadian pertama berlaku pada Oktober tahun lalu apabila pesawat milik Lion Air terjunam ke Laut Jawa hingga mengorbankan 189 penumpang.

Sementara pada 10 Mac pesawat milik Ethiopian Airlines yang sedang dalam penerbangan ke Nairobi terhempas sehingga mengorbankan 157 penumpangnya.

Sebagai rekod, kedua-dua insiden ini berlaku kurang 15 minit selepas pesawat memulakan penerbangan.

Ketua Pegawai EKsekutif (CEO) Boeing, Dennis Muilenburg dalam satu kenyataan media sebelum ini mengakui kesilapan syarikat itu berhubung masalah sistem amaran kokpit pada pesawat berkenaan.

Sebagai rekod, terdapat kira-kira 350 pesawat model itu beroperasi di seluruh dunia melibatkan 54 buah syarikat. Hampir semua syarikat penerbangan dilapor telah mengantung operasi membabitkan semua pesawat jenis ini.

Sementara itu di Malaysia, Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung semua penerbangan keluar masuk menggunakan Boeing 737 MAX 8 dari negara ini berkuat kuasa serta-merta.

Malaysia Airlines (MAS), Air Asia dan Malindo pula dilaporkan tidak menggunakan pesawat jenis 737 Max 8 dalam operasi penerbangan mereka.