AHLI Politik vateran Lim Kit Siang mengesa Pakatan Harapan (HARAPAN) menilai semula secara menyeluruh ke atas janji manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Ia termasuklah usaha meringankan beban rakyat, reformasi institusi dan politik, pembangunan mampan dan saksama, pemulihan taraf Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan Malaysia yang inklusif serta moderat.
Tegasnya langkah itu penting bagi menangani isu keyakinan orang ramai kepada kerajaan baru Malaysia yang kini berusia 14 bulan.
“Kini tiba masanya untuk menilai semula janji Malaysia Baru dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.
“Rakyat Malaysia akan menghargai usaha ini daripada kita cuba menyembunyikannya,” kata Lim dalam ucapan pada Simposium Ekonomi Malaysia di Parlimen pada Jumaat.
Lim yang juga merupakan timbalan pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen berkata, pemimpin HARAPAN perlu membuktikan bahawa mereka terus komited dalam membetulkan hala tuju negara.
Mereka turut perlu menyedari dan mengakui kekecewaan sejumlah besar penyokong.
“Kita mestilah boleh menyampaikan mesej dan meyakinkan bahawa kekecewaan mereka merupakan satu kesilapan.
“Kita mestilah bersikap berterus terang mengenai matlamat sebuah Malaysia Baru.” tambahnya.
Merdeka Centre dalam kajiannya baru-baru ini mendapati, tahap sokongan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan kini merosot kepada 39 peratus pada 31 Mac 2019 berbanding 79 peratus pada 31 Mei 2018.
Kemerosotan sokongan ini disebab antaranya tanggapan ekonomi oleh pengguna biasa, tanggapan prestasi pentadbiran kerajaan dan kebimbangan terhadap hak dan keistimewaan Melayu serta layanan adil ke atas kaum-kaum lain di Malaysia.
Ia diburukkan lagi dengan kelemahan pemimpin HARAPAN dalam menjawab sesuatu isu berbangkit.