Najib mengaku terima RM42 juta – Peguam bekas menteri

Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengaku menerima RM42 juta dalam akaun peribadi miliknya.

Perkara itu dimaklumkan peguam Ranjit Singh, yang mewakili bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik, pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

Saksi ke-55 pendakwaan itu berkata, pengakuan Najib dibuat melalui afidavit balasannya terhadap pembelaan Liong Sik pada Feb 2016 dalam kes saman fitnah difailkan bekas Perdana Menteri itu kepada Liong Sik.

Ranjit berkata, Najib dalam afidavit bersumpahnya, mengakui wang itu adalah daripada SRC.

“Najib juga berkata, antara 24 Disember 2014 hingga 6 Februari, jumlah sebanyak RM42 juta dipindahkan ke akaunnya melalui dua pengantara.

“Bagaimanapun, Najib memaklumkan beliau tidak mengetahui wang itu dimasukkan melalui Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd,” katanya dipetik Berita Harian.

Pada 27 Oktober 2015, Najib memfailkan saman berhubung kenyataan bekas Presiden MCA itu dalam portal berita, Malay Mail bertajuk, ‘MCA’s Liong Sik joins call for Najib’s ouster for allegedly putting people’s money in his own pocket’.

Najib kemudian menarik balik saman itu pada 22 Mei 2018, beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Leave a comment