MotoGP : Zarco bikin kejutan

Juara Moto2 dua kali, Johann Zarco membuat kejutan ketika ujian masa di Automotodrom Brno, Republik Czech semalam.

Ketika pelumba lain dilihat gagal mencatatkan masa terbaik bagi sesi kelayakan dalam cuaca tidak menentu, Zarco yang menunggang untuk Red Bull KTM Factory Racing menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Walaupun jentera KTM sebelum ini dikritik kerana prestasi tidak menentu, Zarco mampu mencatatkan masa terbaik 2’05.351.

Pencapaian itu sekaligus menyaksikan pelumba berusia 29 tahun dari Perancis itu bermula di posisi ketiga pada perlumbaan hari ini.

Petak pertama perlumbaan hari ini adalah milik penunggang Repsol Honda, Marc Marquez yang mencatatkan masa terbaik 2’02.753 diikuti Jack Miller yang menunggang untuk Pramac Racing yang ketinggalan 2.524 saat dibelakang Marquez.

Sementara itu, ketika bercakap selepas barisan hadapan pertama tahun 2019, Zarco menyatakan:

“Ini sangat emosi, hampir terlalu banyak emosi pada sesi kelayakan. Keadaan sebenar di sesi 1 sangat baik untuk saya tetapi ia tidak mudah kerana saya terpaksa bekerja keras untuk pusingan terakhir pada sesi kelayakan pertama.

“Kemudian sesi kedua, pusingan pertama cukup baik. Dan selepas itu ia menjadi tanda tanya sama ada saya perlu menukar tayar atau tidak,” katanya dipetik laman web MotoGP.

Pengarah KTM Motorsport, Pit Beirer nyata gembira dengan prestasi ditunjukkan Zarco.

Tambahnya Zarco merupakan penunggang yang dapat menyesuaikan diri dengan jentera dengan pantas.

Sementara itu, Pelumba negara, Hafizh Syahrin yang juga bekas rakan pasukan Zarco hanya sekadar bermula di petak ke 21 pada perlumbaan esok.

Penunggang bagi pasukan Red Bull KTM Tech3 itu dilihat masih berhadapan masalah mencari setup terbaik untuk jenteranya.

Leave a comment