KEGEMBIRAAN lima sekawan menghabiskan masa bersama di hujung minggu bertukar tragedi.
Seorang dari mereka, Muhammad Ukail Raziq Waldan berusia 13 tahun ditemui lemas di sebuah tasik terbiar di Taman Widuri dekat Bukit Beruntung, Rawang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, mangsa, Muhammad Ukail sebelum itu bersama empat lagi rakannya pergi ke tasik berkenaan untuk beriadah.
“Rakan mangsa memberitahu, mangsa ditolak dua rakannya yang bergurau ketika mereka mandi dan dia (mangsa) tidak timbul selepas itu,” kata Azman dalam satu kenyataan.
Difahamkan, kawasan tasik itu sering dijadikan lokasi rekreasi air oleh penduduk tempatan.
Pasukan penyelamat yang menerima laporan bergegas ke lokasi berkenaan kira-kira jam 3.25 petang.
Mayat mangsa dijumpai pada jam 4.43 petang dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru (HKKB) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, memaklumkan sebuah jentera dengan enam anggota dari Balai Bomba Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi.
Tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Shah Alam turut dikerah bagi membantu mencari mangsa.